Tuesday, September 18, 2012

Kesal

Sebenarnya dia juga ingin berubah. Ingin melangkah ke satu fasa yang lebih baik. Tapi, hingga ke saat ini dia masih belum berani melangkah dengan langkahan besar yang akan menampakkan betapa dia sedang berubah ke arah itu. Dia masih bimbang. Bimbang dengan pandangan manusia-manusia itu. Pandangan-pandangan aneh yang bisa merimaskan jiwa. Entah. Mungkin silap dia juga kerana terlalu menggantungkan hidupnya pada pandangan manusia-manusia yang kurang mengerti itu. Bukankah hidup akan jadi lebih mudah jika hanya digantungkan pada kehendak Dia?

Mungkin bagi kau anjakan dia ke arah pembentukan diri yang lebih baik akan jadi lebih mudah kerana dia dulu pelajar sekolah agama. Ya. Pelajar sekolah agama pada nama. Pada sijil. Dia tidak menidakkan betapa sekolah itu sebenarnya banyak membentuk dia menjadi insan seperti hari ini.  Alhamdulillah. Tidaklah sampai dia lupa tujuan hidupnya. Tidaklah sampai dia lupa betapa di atas sana ada Allah yang Esa sedang memerhatikan setiap langkah hambaNya. Dia bersyukur kerana dia pernah menuntut di situ.

Namun, dia kesal kerana sepanjang 5 tahun dia menuntut di situ dia tidak dapat membentuk dirinya menjadi muslimah sebenar semaksimum mungkin. Mungkin jika dia melakukan perubahan ini di bangku sekolah, tidak akan jadi sesukar ini. Mungkin kau fikir perubahan itu senang baginya. 'Ah! Dulu-dulu pun kau pakai jugak tudung labuh di sekolah. Takkan sekarang tak boleh.' Andainya kau tahu. Betapa dia juga mengharapkan itulah yang terjadi dulu-dulu. Tapi tidak. Dulu semuanya seolah-olah hanya lakonan demi sistem sekolah. Demi sistem sekolah yang menginginkan pelajarnya bertudung labuh. Ya. Dia kesal dengan masa silamnya. Kesal kerana menyedari betapa sudah terlalu lama dia menggantungkan hidupnya pada pandangan mereka. Melupakan niat untuk berubah kerana takut dipersoal.

Sudahlah. Yang berlalu biar berlalu. Hari ini, mudahan hati dia dikuatkan untuk melakukan penghijrahan diri. Biar sedikit demi sedikit. Asal dia berusaha membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Moga segalanya dipermudahkan Allah. Mohon kau juga doakan dia. Mohon kau pimpin dia bersama.

No comments: