Tuesday, September 18, 2012

Kesal

Sebenarnya dia juga ingin berubah. Ingin melangkah ke satu fasa yang lebih baik. Tapi, hingga ke saat ini dia masih belum berani melangkah dengan langkahan besar yang akan menampakkan betapa dia sedang berubah ke arah itu. Dia masih bimbang. Bimbang dengan pandangan manusia-manusia itu. Pandangan-pandangan aneh yang bisa merimaskan jiwa. Entah. Mungkin silap dia juga kerana terlalu menggantungkan hidupnya pada pandangan manusia-manusia yang kurang mengerti itu. Bukankah hidup akan jadi lebih mudah jika hanya digantungkan pada kehendak Dia?

Mungkin bagi kau anjakan dia ke arah pembentukan diri yang lebih baik akan jadi lebih mudah kerana dia dulu pelajar sekolah agama. Ya. Pelajar sekolah agama pada nama. Pada sijil. Dia tidak menidakkan betapa sekolah itu sebenarnya banyak membentuk dia menjadi insan seperti hari ini.  Alhamdulillah. Tidaklah sampai dia lupa tujuan hidupnya. Tidaklah sampai dia lupa betapa di atas sana ada Allah yang Esa sedang memerhatikan setiap langkah hambaNya. Dia bersyukur kerana dia pernah menuntut di situ.

Namun, dia kesal kerana sepanjang 5 tahun dia menuntut di situ dia tidak dapat membentuk dirinya menjadi muslimah sebenar semaksimum mungkin. Mungkin jika dia melakukan perubahan ini di bangku sekolah, tidak akan jadi sesukar ini. Mungkin kau fikir perubahan itu senang baginya. 'Ah! Dulu-dulu pun kau pakai jugak tudung labuh di sekolah. Takkan sekarang tak boleh.' Andainya kau tahu. Betapa dia juga mengharapkan itulah yang terjadi dulu-dulu. Tapi tidak. Dulu semuanya seolah-olah hanya lakonan demi sistem sekolah. Demi sistem sekolah yang menginginkan pelajarnya bertudung labuh. Ya. Dia kesal dengan masa silamnya. Kesal kerana menyedari betapa sudah terlalu lama dia menggantungkan hidupnya pada pandangan mereka. Melupakan niat untuk berubah kerana takut dipersoal.

Sudahlah. Yang berlalu biar berlalu. Hari ini, mudahan hati dia dikuatkan untuk melakukan penghijrahan diri. Biar sedikit demi sedikit. Asal dia berusaha membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Moga segalanya dipermudahkan Allah. Mohon kau juga doakan dia. Mohon kau pimpin dia bersama.

Friday, September 7, 2012

untuk kamu :)

kadang-kadang
Allah datangkan ujian
tanpa diduga
tanpa berita

tujuannya?
mungkin Dia mahu kau jadi lebih kuat
Dia mahu kau lebih tabah
Dia mahu kau lebihkan lagi cinta kau padaNya

Dia mahu kau terus menadah tangan mengharap rahmatNya
Dia mahu kau terus yakin pada qada' dan qadarNya
Dia mahu kau terus berusaha mendekatiNya
Dia mahu melihat sejauh mana percaya dan taqwa kau padaNya

aku tahu selepas semua itu kau akan bangkit lebih utuh lagi
kesilapan kali ini jadikan sempadan agar kau tidak melangkah ke situ lagi
aku yakin kau akan jadi lebih baik dari semalam
bahkan hari ini

justeru teman
jika kau ingin menangis kali ini
menangislah
tapi aku harap kau mampu untuk mengesat air mata itu esok
dan lakarkan senyuman yang lebih indah

jika kau terasa ingin rebah kali ini
duduklah
tapi aku harap kau mampu untuk bangkit esok
dan melangkah dengan lebih yakin lagi

tabahlah teman
yakinlah akan indahNya cinta Dia untukmu

ingat lagi janjiNya?
Dia akan bersama orang-orang yang sabar
dan
bukankah Dia tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan mereka?

:) chill~