Monday, July 30, 2012

sebuah kisah di tengah resah

Muzik itu terus diputarkan. Berterusan. Mungkin pada hemat mereka muzik itu akan dapat membawa dia dan dia-dia yang lain pergi dari keresahan dan kekecohan disitu. Namun, semuanya sia-sia. Dia terus resah dan lelah ditelan keriuhan di situ. Manusia- manusia hidup itu bergerak bersimpang-siur di lorong-lorong yang maha sempit itu. Dia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya terduduk di satu sudut tangga. Terus terasing daripada mereka yang dengan selesanya bersandar melayan irama lagu itu. Sekumpulan manusia lain pula sibuk menyiapkan apa yang patut. Bergerak ke sana ke mari. Ingin segalanya nampak sempurna.

Muzik itu masih bergema. Mengalunkan nada yang seolah-olah ingin memukau pendengarnya. Dia cuba melayan kehendak muzik itu. Mungkin dia boleh sampai ke satu destinasi yang lebih tenang dengan muzik itu. Bukankah otak manusia itu memang diciptakan hebat oleh Penciptanya yang Maha Hebat? Dia memejamkan mata cuba menghayati susunan not-not muziknya. Masih gagal. Muzik itu berjaya mencipta suatu pusaran hitam putih yang lohong yang seolah-olah mampu menelan dia dan ingin mebawa dia ke dunia lain. Dunia yang lebih indah dan tenang mungkin. 

Tapi dia tak mampu. Dia terus lemas ditelan lohong hitam itu dan tidak mampu mencari jalan keluar ke tempat indah itu. Akhirnya, dia kembali semula ke tempat kecoh tadi. Jiwanya menjadi semakin resah di tengah keriuhan itu. Mata perpinar-pinar. Dihimpit dengan aroma yang bermacam variasi. Dipaksa menghirup udara panas yang sudah berulang-kali dihela dan dihembus manusia-manusia lain. Dia berusaha mengawal emosi, menagih kekuatan mental. Mulutnya terkumat-kamit menenangkan diri. 

Dia masih duduk di situ. Di sudut tangga auditorium, menunggu bermulanya perhimpunan.

Thursday, July 19, 2012

Ahlan wa sahlan

Dia akan datang tak lama lagi. Menjengah sekali lagi tahun ini. Alhamdulillah. Masih sempat lagi bersua dengannya. Alhamdulillah. Perjumpaan yang lepas bukanlah yang terakhir. Dapatlah pertemuan kali ini diperbaiki. Moga- moga kali ini hadirnya dia diiringi dengan amalan- amalan yang dituntut.

Bersiaplah. Muhasabah diri. Cari erti sebenar bulan mulia ini. Tingkatkan amal ibadah. Moga- moga pintu Ar- Rayyan terbuka lebar menyambut kedatangan kita nanti. InsyaAllah. 

Moga Ramadhan kali ini menjadi lebih baik daripada Ramadhan yang dulu- dulu. Ramadhan yang hanya dijadikan bulan makan- makan. Ramadhan yang hanya dijadikan bulan ibadah ala kadar. Harap diri istiqamah. Nak meraih nilai Ramadhan yang hebat kena buat amal ibadah yang hebat jugak. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan yang terakhir. Yang terakhir kena jadi yang terbaik. Hari esok kita tak tahu apa yang bakal jadi.

Harapnya madrasah Ramadhan kali ini dapat mentarbiyah diri. Moga jadi lebih sabar. Moga jadi lebih bertaqwa. Moga jadi lebih baik. Lebih baik di mata mereka dan paling penting di mata DIA.

Salam Ramadhan. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. :)

Sunday, July 15, 2012

buat hati hati itu

hari ini dia datang lagi
setelah muhasabah hati dan jiwa
dulu jarang sekali dia mampir menunjukkan diri
tapi kini dia sedar
rumah itu dapat memberi ketenangan buat dirinya
dia ingin turut serta bersama mereka yang lebih berilmu

dia berubah
perubahan yang baik untuk dirinya
dan mungkin juga untuk kamu pada hakikatnya

tapi
mata kau mencerminkan rasa tidak selesa
mata kau memancarkan rasa jelik
pada dia
yang dulunya agak jauh tersasar dari landasan itu

dia persoalkan lagi hatinya
salahkah langkah yang dia ambil
untuk dekat dengan rumah itu?
adakah dia perlu terus menjauh
agar pandangan serong itu tidak merosak jatinya

kau yang di situ
bukankah harusnya kau hulur tangan penuh mesra
menyambut hadir dia dalam hijrah baru
bukankah harusnya kau bimbing dia
agar hatinya terus kekal di rumah itu
bukankah harusnya kau jalin ukhwah erat dengannya
agar dia terus istiqamah dalam jalan yang dia pilih

darjat manusia di sisiNYA
hanya DIA yang Maha Mengetahui
kau tak layak menilai
tapi kau layak untuk menarik dia dia yang lain
untuk kembali kepada fitrah
kembali mengesakan DIA

bukankah ALLAH menyayangi hambaNYA yang bertaubat?

p/s: sama- sama muhasabah. moga- moga hati kita tidak pernah silap menilai insan- insan lain. :)

Friday, July 13, 2012

rumit

kadang- kadang hidup jadi terlalu rumit bila kau cuba kumpulkan semua masalah kau pada satu tempat. kau fikir dan fikir. kau biarkan masalah tu berlegar- legar dalam ruang fikiran. akhirnya, kau jadi runsing sendiri.

kau bijak bila mengingatkan mereka tentang pesanan DIA bahawa selepas setiap kesulitan pasti ada kemudahan. selepas setiap kesulitan pasti ada kemudahan. tapi, kau tak cukup bijak bila kau biarkan masalah kau sendiri mengganggu- gugat hidup kau. kau biarkan diri kau tenggelam dalam kekusutan yang kau cipta sendiri. cepatlah bangkit. jangan smpai kekusutan itu menelan kau, dan kau tak bisa meleraikannya lagi.

masalah yang kecil, jangan diperbesarkan. aku tahu, kadang- kadang kau cuba lupakan, tapi tak mampu. aku tahu kau cuba, kau cuba dan kau cuba. tapi ingat. usaha manusia, takkan ke mana bila kau tak mohon DIA permudahkan jalan itu untuk kau. insyaAllah DIA takkan hampakan mereka yang menadah tangan dan dengan serendah hati memohon padaNYA.

sudahlah. teruskan melangkah. biarpun setapak demi setapak, asalkan kau tak terus berdiri di lorong gelap, berdebu dan hanyir itu. carilah cahaya ketenangan kau. masa yang sesuai akan datang untuk masalah itu terungkai dengan mudahnya. lambat laun masa itu akan tiba. tapi kali ini, teruskanlah dahulu perjalanan kau. paksikan kehidupan kau mengikut acuan DIA. moga- moga kasihNYA sentiasa mengiringi.

Tuesday, July 10, 2012

Untuk awak ;)

Kenangan
aku tahu kau masih hidup dalam kenangan itu
masih berharap
moga cebisan kisah daripada kenangan itu
bercantum menjadi sebuah ceritera indah
ceritera indah kau dan dia

Mungkin?
Mungkin jua sangkaanku salah
kerna aku tak pernah tahu
setiap baris kata dalam kisah itu
setiap tompok warna di atas kanvas cerita itu

tapi aku tahu kau kuat
aku tahu hati kau milik DIA
dan aku tahu
kau juga tahu
apa jua dugaannya
kembali pada DIA
sujud pada DIA
mohon pada DIA
nescaya segalanya akan jadi mudah

mengapa?
kerna selepas setiap kesulitan pasti ada kemudahan
selepas setiap kesulitan pasti ada kemudahan

DIA sedang rancangkan sesuatu untuk kau
sesuatu yang lebih baik
Kun Fa Ya Kun
maka jadilah apa jua kehendakNYA

mungkin kenangan itu milik kau
mungkin jua kau akan mencipta suatu kisah baru di lembaran baru

aku pula?
aku akan terus di sini
berdoa moga kau mendapat yang terbaik...

*your request. I don't know if it suits you better or not :)

Saturday, July 7, 2012

Untuk kau yang bergelar sahabat

Aku bukanlah seorang pujangga
yang bijak menyusun kata

Bukanlah juga seorang pakar motivasi
yang cekap perihal hati

Bukan pula seorang nujum
yang tahu apa ada di sebalik tangis dan senyum

Tapi,
aku bisa menjadi pendengar yang setia
bila kau perlukan pendengar selain DIA

Aku bisa pura- pura tidak endah
bila kau rasa payahnya untuk diluah

Aku bisa memberi kata semangat
bila kau rasa kau tak kuat

Benar.
Aku tidak sekamil sahabat lain
masih punya cacat cela zahir dan batin
masih punya khilaf yang terlepas pandang
masih punya silap yang tak terbilang

Tapi aku akan terus berusaha
mencuba menjadi sahabat sempurna
yang bakal seiring menuju syurga DIA...